Menjelang tahun 2023, buat produk sendiri sudah menjadi idaman dan impian semua solopreneur dan usahawan yang bermula sebagai dropship dan ejen kepada produk orang lain sewaktu mula buat bisnes saat wabak pandemik melanda global. Memiliki produk sendiri menjadi satu kebanggaan dan simbol legasi lebih-lebih lagi jika produk itu berkualiti, berkesan dan menyelesaikan masalah sebenar masyarakat. Disebabkan itu, ramai solopreneur dan usahawan mencari-cari cara buat produk sendiri.
Akan tetapi, tidak ramai solopreneur dan usahawan yang tahu cabaran di sebalik buat produk sendiri, jenis produk sendiri yang mereka boleh keluarkan dan jual di pasaran. Cara buat produk sendiri yang efektif juga masih menjadi perdebatan ramai founder produk dan usahawan sehingga ke saat artikel ini ditulis. Jika anda ada impian dan cita-cita untuk buat produk sendiri, sila baca artikel ini sampai habis kerana semua maklumat yang anda perlukan untuk buat produk sendiri bermula dengan cara fikir yang betul, cabaran yang bakal anda tempuhi, ada di dalam artikel ini.
Apa Itu Produk Sendiri?
Produk sendiri adalah sebuah idea berbentuk solusi hasil dari masalah sebenar yang dihadapi satu golongan dalam masyarakat dan mampu diselesaikan dengan sebuah produk yang anda cipta atau bangunkan sendiri.
Produk sendiri juga boleh difahami sebagai produk fizikal atau digital yang belum pernah dikeluarkan oleh orang atau brand lain dan menjadi hak milik anda sebagai pemilik produk tersebut.
Kebaikan Buat Produk Sendiri
Sebenarnya, buat produk sendiri ini ada banyak kebaikannya dan tidak terbatas kepada usahawan itu sendiri, bahkan kepada masyarakat dan pasaran. Semakin bagus produk itu, semakin tinggi kualiti hidup masyarakat. Di masa depan, akan ada inovasi pada produk itu yang akan meningkatkan lagi kualiti hidup dengan penggunaan teknologi dan digital yang akan mengubah perspektif kehidupan kita.
1. Bina Legasi Perniagaan Anda
Individu yang mengeluarkan produk sendiri lazimnya merupakan seorang manusia yang mempunyai visi yang ter kehadapan berbanding orang lain. Kita ambil contoh mudah, Steve Jobs. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab mengeluarkan produk iPhone yang pada hari ini digunakan 48% penduduk dunia dan legasi perniagaan yang ditinggalkannya memberi impak yang tersangat besar pada masyarakat.
2. Margin Untung Yang Lebih Besar
Kebaikan buat produk sendiri dari sudut pandang kewangan syarikat adalah, usahawan itu mampu mendapatkan margin untung yang lebih besar berbanding jual produk brand lain yang telah ditetapkan kadar margin untungnya. Mustahil untuk anda capai 50% margin untung jika anda seorang dropship Chocojar. Tapi, anda boleh capai 50% atau lebih margin keuntungan jika anda keluarkan produk sendiri berasaskan biskut coklat seperti Chocojar.
3. Boleh Kawal Kos COGS
Permainan dalam dunia perniagaan adalah scaling up dan cara untuk capainya adalah dengan membunuh kuantiti. Usahawan yang bijak akan fikir sedaya mungkin untuk mengurangkan kos COGS dengan objektif meningkatkan keuntungan jualan satu produk. Setiap RM1 yang dikurangkan adalah untung tambahan. Sekarang, bayangkan jika anda sebagai usahawan dapat kurangkan kos COGS RM5.50 untuk 100,000 unit produk.
Secara teknikal, anda berjaya tebalkan margin sebanyak RM550,000 tanpa perlu keluar kos marketing dan buat sales.
4. Produk Adalah Hakmilik Anda
Bila produk yang anda keluarkan itu sangat bagus dan memberi solusi sebenar kepada masyarakat, hanya masa akan menentukan secepat mana produk anda akan diplagiat oleh pesaing dalam negara dan pesaing antarabangsa. Sebagai usahawan, anda boleh kawal masalah ini dengan mendaftar hak cipta produk anda supaya segala nilai tentang produk itu akan jadi hakmilik kekal anda selama-lamanya.
Cabaran Buat Produk Sendiri
Bak kata pepatah, setiap yang patah itu pasti akan sumbing. Dalam proses buat produk sendiri, usahawan lazimnya akan berhadapan dengan beberapa cabaran yang kadangkala mampu memberi kesan kepada bisnes untuk tempoh jangka masa panjang. Ini cabarannya.
1. Cari Kilang Yang Efisien
Di Malaysia, khususnya di negeri Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang, wujud lambakan kilang yang mampu membantu anda keluarkan produk sendiri. Proses daripada bahan, kos, pembinaan prototype, pensijilan dan packaging mereka boleh uruskan. Tapi, ramai yang tidak tahu bukan semua kilang mampu serahkan produk yang ditempah dalam keadaan baik. Masalah seperti kualiti, kuantiti dan masa sentiasa menjadi cabaran utama.
2. Tenaga Pekerja Yang Produktif
Semenjak tahun 2021, Malaysia mengalami masalah kekurangan tenaga pekerja yang serius dan isu ini telah menjadi topik nasional. Tidak ramai warganegara tempatan yang ingin mengisi kekosongan pekerjaan di kilang-kilan penghasilan produk dan ini menyebabkan pekerja sedia ada terpaksa bekerja lebih masa dan kesannya, mereka kurang produktif.
3. Masalah Operasi Penghasilan Produk
Dalam tempoh 6 bulan pertama tahun 2022, berlaku lebih daripada 3 kali kenaikan harga barang sehingga mengganggu operasi penghasilan produk di kebanyakan kilang skala kecil dan sederhana. Kenaikan kos operasi secara mendadak dan bersifat berulang ini telah menjadi satu beban masalah yang membantutkan produktiviti dan operasi kilang dalam menghasilkan produk.
4. Persaingan Dari Niche & Industri Sama
Di Malaysia, biasanya sebuah produk yang bagus hanya akan menjadi peneraju di pasaran dalam masa 30 hari – 120 hari sahaja bergantung kepada produk. Selepas tempoh itu, akan muncul pesaing yang masuk ke dalam niche dan industri anda dengan strategi kurangkan harga, freegift dan sebagainya. Hujungnya, prospek atau pelanggan sendiri tidak kenal akan produk anda kerana wujud terlalu banyak alternatif di pasaran.
Jenis Produk Sendiri Yang Anda Boleh Buat
Dalam aktiviti membuat produk sendiri, ada dua jenis produk yang anda boleh buat iaitu produk OEM dan produk ODM. Buat pengetahuan anda, produk OEM adalah Original Equipment Manufactuter dan boleh difahami sebagai kombinasi beberapa ramuan dan produk dari brand lain untuk hasilkan produk anda.
Manakala produk ODM adalah Original Design Manufacturing di mana sebuah produk telah disiapkan tanpa ada label. Anda sebagai usahawan boleh pilih produk yang anda inginkan dari katalog kilang, buat perubahan kecil, masukkan logo anda dan jual kepada orang ramai.
Cara Buat Produk Sendiri
Ada 7 step-by-step tentang cara buat produk sendiri. Anda perlu ikut turutan berikut dalam proses buat produk sendiri.
1. Tetapkan Produk Yang Anda Nak Jual
Langkah pertama adalah, anda sebagai bakal founder produk dan usahawan perlu tahu apa produk yang anda ingin jual di pasaran. Terdapat pelbagai cara untuk anda tetapkan produk untuk dijual. Ada 4 jenis produk iaitu :-
- Produk yang sedang laku di pasaran
- Produk yang spesifik untuk satu golongan
- Produk yang umum untuk semua golongan
2. Reka Bentuk Produk & Pembungkusan Produk
Sebelum wujudnya prototaip produk anda sendiri, anda bertanggungjawab untuk beri gambaran secara mikro dan holistik kepada pihak pengilang produk. Dan hal ini termasuklah reka bentuk (design) produk, dan pembungkusan (packaging) produk anda. Soal kreatif pada produk adalah sangat penting dan 80% kepentingan tentang produk fizikal adalah berkaitan dengan aspek kosmetik.
Caranya, anda boleh pakai khidmat creative agency atau upah freelance graphic designer yang berpengalaman dalam penghasilan reka bentuk dan pembungkusan produk yang menepati citarasa anda dan sesuai untuk target audiens. Hasil kerjanya bukan sahaja perlu kelihatan cantik, tetapi juga nampak meyakinkan untuk orang beli produk anda.
3. Pilih Kilang Yang Efisien & Boleh Dipercayai
Caranya adalah dengan buat carian di Google berdasarkan jenis produk yang anda nak buat. Atau tanyakan kepada kawan-kawan usahawan yang pernah keluarkan produk sendiri. Soalan yang anda boleh tanya adalah, berapa kuantiti yang boleh dikeluarkan kilang yang mereka gunakan dalam masa sehari, sebulan dan setahun.
Selain itu, anda juga perlu tahu apa risiko yang ada dan bakal anda hadapi dan solusi yang pihak kilang tersebut boleh tawarkan untuk kurangkan risiko dalam keseluruhan operasi membabitkan produk anda.
4. Bincang Bahan, Kos, MOQ Produk Anda
Fasa ini penting kerana anda perlu nyatakan secara spesifik bahan, ramuan, resepi, sukatan, material dan segala yang berkaitan dalam pembuatan produk anda. Ini penting supaya kilang dapat keluarkan produk pada kuantiti yang besar tanpa menjejaskan kualiti produk tersebut hatta 1% pun.
Anda juga perlu tahu dan dapat gambaran berapa kos untuk keluarkan satu produk, sekaligus kos untuk hasilkan produk pada kuantiti yang besar. Selain itu, anda juga perlu tahu jangkamasa untuk pihak kilang siapkan produk anda dari proses A-Z.
Ada kilang yang mewajibkan anda membuat minimum order quantity (MOQ) atas pelbagai faktor. Tiada apa yang salah tentang perkara ini cuma anda perlu rancang strategi marketing sekiranya anda perlu tempah minima 1,000 biji produk pada peringkat awal.
Dari sudut pandang positif, MOQ bagus untuk validasi idea produk anda itu kerana jika benar produk anda itu bagus dan boleh terjual, anda tidak akan ambil masa yang lama untuk jual 1000 biji produk tersebut.
5. Kilang Hasilkan Prototaip Produk Anda
Seperti poin #2 dan #4, selepas anda selesai dengan reka bentuk, pembungkusan produk dan kuantiti produk, tibalah masa untuk kilang hasilkan prototaip produk anda.
Selepas anda terima prototaip tersebut, berikannya kepada beberapa orang pengguna untuk cuba produk anda untuk satu tempoh masa tertentu seperti 7 hari atau 30 hari. Selepas itu, dapatkan maklum balas pengguna dan maklumkan kepada kilang untuk penambah baikan produk sebelum produk anda dihasilkan pada kuantiti besar dan dijual di pasaran.
Kilang akan buat product adjustment untuk produk anda dan proses ini boleh memakan masa beberapa minggu bergantung kepada jenis produk dan tahap product adjustment itu. Untuk produk berasaskan kosmetik dan kesihatan biasanya lebih lama berbanding produk berasaskan fabrik seperti pakaian.
6. Pensijilan & Dokumentasi Untuk Produk Anda
Langkah yang keenam adalah, anda perlu buat pengesahan produk tersebut untuk urusan hakcipta. Dalam proses ini, anda perlu buat satu dokumen khusus untuk perjanjian di antara syarikat anda dan kilang. Anda boleh juga buat satu NDA khusus untuk menghalang kilang dari bekalkan produk sama pada pesaing anda.
7. Penghantaran Produk Oleh Kilang Ke Premis Anda
Fasa terakhir adalah perbincangan berkaitan proses penghantaran produk anda dari kilang ke premis anda. Pihak kilang perlu tahu jadual yang bisnes anda tetapkan kerana kilang perlu rancang pengeluaran produk anda secara harian dan mingguan.
Sentiasa semak status, kualiti dan kuantiti produk setiap kali anda terima penghantaran produk dari kilang supaya tiada produk yang cacat, rosak dan sebagainya sebelum dijual kepada umum.
Kesimpulannya, nak buat produk sendiri tidaklah sesukar yang difikirkan ramai orang. Memang betul, ada banyak proses yang perlu anda lalui tetapi setiap proses ini penting supaya anda tahu tahap efisien dan produktiviti kilang tersebut. Ikut semua step-by-step buat produk sendiri dalam artikel ini untuk bina legasi perniagaan anda sekarang.
